BAB 7 : INTERAKSI TAMADUN ASIA DAN RELEVENSINYA DI MALAYSIA DAN DUNIA.
7.1- Tamadun Cina dalam pemantapan Tamadun Malaysia dan Dunia.
Prospek Globalisasi: Masalah dan Cabaran Dari segi persejarahannya, negara Malaysia merupakan satu dataran bagi pertembungan beberapa tamadun utama Timur dan Barat kerana kedudukannya dari segi geografi. Akibatnya kini, Malaysia mempunyai sebuah masyarakat majmuk dengan berbilang kelompok etnik masing-masing mempunyai tradisi budaya yang berakar umbi dalam tamadun-tamadun yang bertembung itu. Hakikat ini serta implikasi-implikasinya bagi pembinaan negara perlu disedari dan diambil kira oleh para pemimpin dan rakyat Malaysia. Oleh itu, sejak kemerdekaan negara pada tahun 1957, integrasi nasional diberikan penekanan sebagai satu nilai yang terunggul dalam proses pembinaan negara. Dalam hubungan ini, pucuk pimpinan negara hendaklah berpegang kepada integrasi nasional yang harus berasaskan keharmonian antara kaum melalui interaksi budaya dan dialog peradaban serta keadilan terhadap semua pihak.
Di peringkat global, kemajuan sains dan teknologi telah meningkatkan taraf hidup manusia pada kurun ke-20 dan awal kurun ke-21 ini yang memungkinkan terbentuknya zaman informasi (teknologi maklumat). Proses globalisasi dalam zaman informasi ini turut melibatkan Malaysia. Malaysia dan negara-negara lain akan menghadapi tiga prospek yang berkaitan iaitu pertama, negara-negara harus bekerjasama untuk menangani segala masalah dan cabaran yang berbangkit daripada globalisasi; kedua, interaksi budaya dan dialog peradaban akan menjadi lebih giat dan mendalam; dan ketiga, satu set ideal, kepercayaan dan nilai yang baru harus dikenal pasti untuk dipatuhi di peringkat sejagat. Dalam hubungan ini, Wawasan 2020 yang dilancarkan pada tahun 1991 merupakan cita-cita dan strategi pucuk pimpinan negara untuk menghadapi tiga prospek globalisasi yang tersebut itu. Pada ketika ini, Malaysia amat beruntung kerana memiliki satu khazanah yang kaya dengan pelbagai sumber kerohanian. Sumber-sumber kerohanian sejagat ini harus digali, dikupas dan diberi pengertian baru dalam konteks semasa. Penemuan-penemuan daripada penelitian semula ini akan menyumbang kepada perumusan ideal, kepercayaan dan nilai untuk negara dan dunia sejagat.
Dalam proses globalisasi ini, wujud masalah-masalah dalam zaman informasi. Walaupun banyak kemajuan yang telah dicapai dalam zaman moden ini, namun manusia masih menghadapi masalah-masalah yang berkesinambungan semenjak dahulu dan baru yang lebih mencabar. Antara masalah-masalah tersebut ialah pertama, pembangunan ekonomi dan kebendaan jauh lebih pesat berbanding dengan pembangunan kerohanian. Kedua, oleh sebab pengagihan kekayaan yang tidak seimbang, sebilangan besar manusia masih menghadapi masalah- masalah akibat kemiskinan dan kemunduran. Ketiga, institusi keluarga dan perkahwinan menjadi semakin lemah atau longgar kerana diserap oleh unsur- unsur negatifmodenisasi, mengakibatkan kemerosotan ketenteraman sosial dan keruntuhan akhlak di kalangan sesetengah masyarakat moden. Dan keempat, akibat eksploitasi sumber alam secara besar-besaran, pencemaran alam sekitar dan gangguan keseimbangan ekologi akan mengancam kehidupan manusia. Masalah-masalah tersebut disebabkan oleh kemerosotan akhlak dan kelemahan manusia sendiri, seperti kecenderungan kepada amalan rasuah, sifat tamak haloba, sifat mementingkan nafsu, sifat mementingkan diri dan sikap materialistik. Justeru itu, dimensi moral dan etika adalah penting dan harus diambil kira demi mengatasi masalah-masalah ini.
Cabaran-cabaran yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dalam proses pembinaan negara dan pemantapan tamadun Malaysia terkandung dalam Wawasan 2020. Antaranya, yang paling utama adalah untuk membentuk sebuah masyarakat dengan sifat-sifat yang diingini, supaya masalah-masalah pada zaman informasi itu dapat diatasi. Masyarakat yang diidamkan adalah seperti berikut:
- Masyarakat yang demokratik, mengamalkan "demokrasi Malaysia" yang mantap, bermuafakat dan berorientasikan komuniti.
- Masyarakat yang bermoral dan beretika dengan rakyatnya berpegang kuat pada nilai-nilai agama dan rohaniah serta mempunyai standard etika yang tertinggi.
- Masyarakat yang matang, liberal dan bertoleransi, supaya rakyat yang berbilang kaum bebas mengamalkan tradisi budaya dan ajaran agama masing-masing tanpa keterasingan.
- Masyarakat yang berkebudayaan penyayang yang berteraskan satu sistem sosial yang memegang pada konsep kepentingan kolektif mendahului kepentingan individu, dan satu institusi keluarga yang teguh supaya kebajikan warganya berkisar pada keluarga, dan bukan pada kerajaan atau negara.
Dapat dirumuskan bahawa cabaran yang dihadapi oleh Malaysia adalah untuk mendirikan sebuah negara-bangsa beretika yang terdiri daripada rakyat yang beretika, yang menempatkan pula dalam keluarga yang beretika. Pada tahun-tahun 1990-an, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan beberapa konsep dan rancangan baru untuk merealisasikan matlamat Wawasan 2020. Antaranya, Multimedia Super Corridor (MSC) yang merupakan satu projek untuk memenuhi keperluan telekomunikasi antara negara dengan dunia pada zaman informasi ini. Projek ini akan melibatkan banyak pelaburan dalam pembangunan tenaga manusia demi perkembangan teknologi peraiatan (hardware) dan program perisian (software). Selain itu, Malaysia memerlukan banyak lagi tenaga manusia yang terlatih dalam pelbagai bidang demi menmgkatkan produktiviti setiap sektor, khususnya perindustrian dan perdagangan. Oleh itu, pendidikan negara harus dipertingkatkan dari segi kualiti dan kuantiti. Sehubungan ini, beberapa inovasi telah diperkenalkan dalam bidang pendidikan. Inovasi yang agak berkesan ialah sektor swasta dibenarkan melabur dalam bidang pendidikan terutamanya pada peringkat tinggi. Melalui usaha bersama sektor awam dan sektor swasta, kini kemampuan sistem pendidikan Malaysia membekalkan kemudahan-kemudahan untuk latihan dan penyelidikan telah meningkat berlipat ganda, di samping melatih dan mengeluarkan sumber tenaga manusia. Dua lagi rancangan inovatif dalam pendidikan ialah sekolah bestan (smart school) dan universiti maya (virtual university) yang menggunakan teknologi telekomunikasi dari MSC. Perkembangan ini akan mendatangkan pembaharuan yang bersifat revolusi dalam pendidikan, lalu menjelmakan cita-cita Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini dan juga sebuah negara yang maju pada kurun ke-21.
Sejak Julai 1997, Malaysia dan juga beberapa buah negara di Asia Tenggara dan Asia Timur mengalami kegawatan ekonomi yang agak teruk. Oleh sebab terdapatnya banyak faktor luaran yang di luar kawalan negara kita dan dunia, kita mungkin akan menghadapi prospek kemerosotan yang umum. Justeru itu, Wawasan 2020 mungkin tidak dapat direalisasikan dalam tempoh masa yang dirancangkan. Walau bagaimanapun, ideal, kepercayaan dan nilai yang dipegang oleh rakyat dan pucuk pemimpin Malaysia tetap tidak berubah, sekiranya Wawasan 2020 terus menjadi cita-citanva.
Berdasarkan masyarakat ideal yang digambarkan di atas, Wawasan 2020 terus menyatakan pelbagai wawasan rakyat Malaysia pada kurun ke-21 dan strategi untuk merealisasikannya. Nilai-nilai yang harus dioenkan tumpuan dapat dikenal pasti daripada kenyataan ini. Bahagian mi akan mengenal pasti nilai-nilai itu dan membandingkannya dengan nilai-nilai dalam tamadun Cina untuk melihat persamaan dan kaitan antara kedua-dua set nilai itu. Perbandmgan ini dilakukan dengan merujuk kepada wawasan atau strategi dalam bidang-bidang tertentu iaitu bidang politik, sosial, psikologi, ekonomi, pendidikar. dan pemeliharaan alam sekitar.
Dalam bidang politik, nilai utama yang diberikan tumpuan ialah integrasi nasional (perpaduan nasional). Selain itu, yang ditekankan ialah mengenai ideal demokrasi (khasnya kematangan, kemuafakatan, komuniti sebagai tumpuan), keamanan dan keharmonian, keadilan dan dedikasi terhadap negara. Tamadun Cina yang berasaskan humanisme dan moralisme memang menekankan keharmonian, kesederhanaan, keadilan, ketaatan dan ideal-ideal demokrasi seperti yang terkandung dalam The Grand Unity sebagaimana yang telah dibincangkan sebelum ini.
Dalam bidang sosial, yang diidamkan ialah sebuah masyarakat bermoral dan beretika, berkebudayaan penyayang, bersifat terbuka dan toleransi, bersifat bebas untuk mengamalkan tradisi budaya dan ajaran agama, bersifat saintifik dan progresif, dan berasaskan institusi keluarga yang kukuh. Sebagai mana yang telah dibincangkan sebelum ini, tamadun Cina dalam proses perkembangannya telah menerima banyak pengaruh agama dan kebudayaan asing kesan daripada interaksi dengan tamadun lain. Tamadun Cina memang bersifat terbuka dan bertolak ansur. Selain itu, sistem etika Cina sejak zaman purba berasaskan keluarga semata-mata dan mengutamakan kebaikan hati (benevolence atau cohumanity) serta keharmonian dalam hubungan antara sebarang entiti (individu, kelompok, alam). Oleh itu, ajaran Konfusianisme mungkin memberi banyak implikasi bagi pemupukan kebudayaan penyayang dan pembangunan masyarakat yang beretika, liberal dan bebas dari segi agama dan budaya.
Dalam bidang psikologi, rakyat Malaysia harus dibangunkan psikologinya agar selaras dengan aspek pembangunan yang lain terutama pembangunan kebendaan. Sifat-sifat psikologis yang diperlukan ialah keyakinan kendiri secara kolektif, iaitu rasa bangga kerana keahlian dalam masyarakat dan pencapaian masyarakat; bersikap teguh terhadap pelbagai cabaran; tabah hati mengejar kualiti; dan adanya pembebasan psikologi (tidak rasa diri kurang penting). Dalam tamadun Cina yang bercirikan personalisme sebagaimana yang telah dibincangkan, pemupukan kendiri wajar diamalkan atas premis bahawa manusia berkeupayaan untuk mencapai semaksima kebaikan dan memberi manfaat. Lanjutan daripada premis ini ialah kepercayaan bahawa setiap orang tanpa mengira latar belakangnya harus dididik dan boleh dididik. Selain itu, pemupukan kendiri dalam tradisi Cina bertujuan untuk kepentingan keluarga, negara dan dunia, dan bukan untuk diri sendiri semata-mata. Nyatalah bentuk- bentuk pemikiran ini terdapat dalam tamadun Cina yang sememangnya relevan sebagai pedoman untuk merancang kurikulum dan pedagogi bagi pembangunan psikologi yang dingini.
Dalam bidang ekonomi, keadilan dan sikap berpatutan merupakan dua nilai yang penting. Kedua-dua nilai ini khasnya merujuk kepada pengagihan kekayaan secara adil saksama dan pekerjaan tidak dikenal pasti dengan ras. Sebenarnya keadilan pengagihan kekayaan adalah salah satu ideal dalam The Grand Unity. Selain itu, terdapat banyak nilai dalam tamadun Cina yang patut ditekankan dalam aktiviti ekonomi. Misalnya, kerajinan, berjimat-cermat, tanggungjawab (komitmen), integriti dan ketaatan akan memanfaatkan
pertubuhan perniagaan secara langsung; nilai etika seperti keharmonian, kesetiaan, kesopanan, kepatuhan kepada norma dan peraturan, disiplin din, semangat bekerjasama dan sebagainya mungkin memberi implikasi yang positif bag! teori organisasi, tingkah laku organisasi, pengurusan perniagaan dan psikologi perindustrian.
Dalam bidang pendidikan, pendidikan merupakan kunci pembangunan dan medium untuk merealisasikan Wawasan 2020. Banyak inovasi dan ciri baru diperkenalkan ke dalam sistem pendidikan sejak tahun 1990. Kita harus mengambil satu perspektif perbandingan supaya kebijaksanaan dan fikiran Konfusianisme dan tradisi lain dapat digunakan dalam segala pertimbangan mengenai perkembangan kurikulum dan strategi mengajar dan pengajaran. Dalam konteks ini, warisan-warisan tamadun Cina yang relevan dan menarik hati ialah pertama, kepercayaan optimistik pada potensi manusia untuk mencapai kecemerlangan individu atau berkelompok; kedua, pendidikan sentiasa diutamakan; ketiga, kepercayaan bahawa setiap individu harus dan boleh dididik; keempat, pembentukan keperibadian atau ajaran moral dan etika diberikan keutamaan; dan kelima, guru harus dihormati dan diberi status sosial yang tinggi. Nyatalah bahawa warisan-warisan ini adalah berpunca daripada humanisme, personalisme, intelektualisme dan moralisme dalam tamadun Cina.
Dalam bidang pemeliharaan alam sekitar, isu ini menjadi semakin runcing dan memerlukan persetujuan konsepsi dan kerjasama di permgkat sedunia. Secara asasnya, manusia perlu merujuk kepada tradisi yang menekankan serta mengamalkan hubungan harmoni antara manusia dengan alam semulajadi. Sehubungan ini, tamadun harus berdialog antara satu dengan yang lain supaya mencapai satu konsepsi yang rasional mengenai alam, kaitannya dengan manusia dan kewajipan manusia bagi mengatasi kemerosotan mutu alam sekitar. Mengikut ajaran sama ada Konfusianisme, Daoisme atau Buddhisme dalam tamadun Cina, manusia berkedudukan setaraf dengan alam, maka manusia harus berusaha memahami prinsip-prinsip alam semesta (tian) supaya tercapai satu keadaan yang dikenali sebagai "kesatuan tian dengan manusia". Fahaman mengenai alam dan keadaan kesatuan ini adalah bersifat transendensi dan bukan empirik. Walau apapun, keharmonian yang tertinggi darjahnya harus diusahakan dalam hubungan manusia dengan alam semesta.
7.2- Kekuatan Tamadun Cina sebagai sumber rujukan
Selain daripada adanya kaitan tamadun Cina, khasnya sistem nilainya dengan Malaysia dan dunia dalam konteks pembentukan semula sistem etika, perlu ditekankan di sini bahawa terdapat tiga kekuatan tamadun Cina sebagai sumber rujukan.
Pertama, dan sudut kesesuaian. Ideal Konfusian mengenai penubuhan sesebuah negara beretika bersesuaian dengan Wawasan 2020. Kedua-duanya mempunyai konsepsi yang sama mengenai kepercayaan, ideal dan nilai. Khususnya, keluarga dianggap sebagai satu institusi sosial penting yang seharusnya dipelihara dan dipertahankan. Tambahan lagi, Malaysia sebagai satu negara-bangsa moden amat komited terhadap pembangunan pendidikan, berdasarkan kepercayaan pada perkembangan sepenuh potensi manusia peringkat perseorangan. Dalam hal ini, ideologi Konfusianisme yang berteraskan humanisme, humanitarianisme, intelektualisme dan rasionalisme, adalah secocok dengan fikiran pendidikan moden di Malaysia dan dunia.
Kedua, dari sudut skop yang komprchensif. Sungguhpun Konfusianisme dikembangkan lebih kurang 2,500 tahun dahulu, konsepsinya mengenai perhubungan sosial, iaitu Lima Perhubungan (wulun), adalah sahih lagi komprehensifsehingga masa kini. Dalam Konfusianisme, nilai, sifat moral dan prinsip etika yang berkisar kepada lima perhubungan sosial adalah penting dan cukup sesuai untuk memberi ilham kepada mereka yang memikirkan satu sistem nilai yang sewajarnya
.
Dan ketiganya, dari sudut kaya dengan wawasan dan kebijaksanaan. Wawasan Konfusian mengenai masa depan manusia, seperti yang dinyatakan dalam The Grand Unity amat berkaitan dengan masyarakat global. Pada tahun- tahun kebelakangan ini terdapat ramai sarjana yang terlibat dalam perbincangan tentang kaitan tamadun Cina dengan dunia moden dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, pendidikan, ketenteraan, pemeliharaan alam sekitar, pengurusan perniagaan, perubatan dan kesihatan. Pelbagai pendapat tentang keistimewaan atau keunikan dan juga kelemahan-kelemahan dalam tamadun Cina telah diutarakan. Sebilangan kecil mereka menegaskan bahawa tamadun Cina yang wujud dan berlangsung beribu-ribu tahun itu mempunyai unsur-unsur yang kurang sesuai pada masa kini. Namun, pada keseluruhannya, kebanyakan sarjana percaya bahawa tamadun Cina mempunyai unsur positif dan kebijaksanaan seperti yang telah dibincangkan. Tegasnya, seperti tamadun- tamadun lain yang memiliki jangka hayat yang lama, tamadun Cina yang kaya dengan wawasan dan kebijaksanaan akan terus menjadi satu sumber inspirasi yang relevan bagi manusia pada kurun ke-21.
Dan ketiganya, dari sudut kaya dengan wawasan dan kebijaksanaan. Wawasan Konfusian mengenai masa depan manusia, seperti yang dinyatakan dalam The Grand Unity amat berkaitan dengan masyarakat global. Pada tahun- tahun kebelakangan ini terdapat ramai sarjana yang terlibat dalam perbincangan tentang kaitan tamadun Cina dengan dunia moden dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, pendidikan, ketenteraan, pemeliharaan alam sekitar, pengurusan perniagaan, perubatan dan kesihatan. Pelbagai pendapat tentang keistimewaan atau keunikan dan juga kelemahan-kelemahan dalam tamadun Cina telah diutarakan. Sebilangan kecil mereka menegaskan bahawa tamadun Cina yang wujud dan berlangsung beribu-ribu tahun itu mempunyai unsur-unsur yang kurang sesuai pada masa kini. Namun, pada keseluruhannya, kebanyakan sarjana percaya bahawa tamadun Cina mempunyai unsur positif dan kebijaksanaan seperti yang telah dibincangkan. Tegasnya, seperti tamadun- tamadun lain yang memiliki jangka hayat yang lama, tamadun Cina yang kaya dengan wawasan dan kebijaksanaan akan terus menjadi satu sumber inspirasi yang relevan bagi manusia pada kurun ke-21.
SUMBER :
MODUL (KURSUS WAJIB) (WAJ3101) TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA
PROGRAM PENSISWAZAHAN GURU (PPG)
MOD PENDIDIKAN JARAK JAUH
No comments:
Post a Comment